Setiap kali tercium haruman kasturi, saya tahu dia datang… - Pesan Atuk

 


Kisah ini berlaku sewaktu saya di sekolah menengah pada penghujung tahun 1990-an. Ketika itu, saya tinggal bersama atuk dan nenek di rumah mereka di sebuah kampung di Johor. Di situ juga saya bersekolah. Sepanjang tinggal bertiga dengan mereka, ada beberapa kejadian aneh yang pernah saya lalui. Antaranya…

KISAH 1

Suatu malam, sesudah Maghrib saya bertungkus lumus untuk menyiapkan kerja sekolah yang bertimbun. Saya perlu siapkan jika tidak mahu dirotan oleh cikgu. Kebetulan atuk mengajak saya ke klinik di pekan untuk mendapatkan bekalan ubatnya yang sudah habis. Saya menolak. Kalau saya ikut, saya risau kerja sekolah tak siap pula.

Wajah atuk dan nenek juga seakan tidak percaya bila saya enggan mengikut mereka. Sebab mereka tahu saya bukannya seorang yang berani hendak tinggal seorang diri di rumah, apatah lagi waktu malam.

Nenek berpesan macam-macam. Sebaik nenek dan atuk pergi, saya kembali ke bilik. Saya terlalu ralit menyiapkan karangan. Sehinggalah mata saya sudah letih, saya berhenti seketika. Sambil meregangkan otot, mata saya memandang tingkap yang menghadap ke rumah cikgu Mad Nor.

Tiba-tiba, sekelip mata itu juga, lintasan lembaga berpakaian putih lalu di hadapan saya. Terhenti seketika nafas saya rasanya, terlalu terkejut.

Saya cepat-cepat bangun. Lembaga itu menuju ke arah belakang rumah. Sangka saya, barangkali cikgu Mad Nor mahu menangkap ayamnya. Tapi, tangkap ayam waktu malam?

Saya abaikan pertanyaan demi pertanyaan dalam kepala dan bergegas ke belakang rumah. Pintu belakang saya kuak. Tiada sesiapa. Gelap. Sunyi. Saya toleh kiri dan kanan. Pelik. Kalau cikgu Mad Nor mahu mencari ayamnya, pastilah gunakan lampu suluh.

Malam itu apabila atuk dan nenek pulang, saya langsung tidak terkata apa. Hanya keesokan hari semasa kami bersarapan, saya membuka mulut menceritakan perihal malam tadi.

Atuk pula cepat-cepat bertanya kepada cikgu Mad Nor. Namun, cikgu Mad Nor beritahu dia tidak keluar rumah pun malam tadi, apatah lagi mencari ayamnya. Dia ada saja di dalam rumah bersama keluarganya. Habis, lintasan apa yang saya nampak?

KISAH 2

Kata orang, kebun di hadapan rumah atuk ada laluan untuk orang bunian. Laluannya lurus, melalui rumah atuk, sampai ke bahagian belakang.

Suatu hari ketika saya sedang menunggu bas untuk ke sekolah, ada kejadian aneh berlaku. Sudah banyak desas-desus, cuma baru pertama kali berlaku di hadapan mata saya.

Sesi sekolah saya sebelah petang. Maka sekitar jam 12.00 tengahari, saya sudah berada di perhentian bas. Jalan ketika itu lengang tanpa kenderaan. Hanya ada sebuah motor cabuk ditunggang seorang apek sedang melalui jalan itu dari kejauhan.

Kejadian berlaku sangat pantas. Ketika motor apek itu semakin menghampiri, saya melihat dengan mata sendiri tiba-tiba ia melencong dan berlanggar dengan tiang lampu. Lekas-lekas saya berlari memanggil atuk di rumah.

Atuk segera mendapatkan apek itu dan memberikan bantuan. Mujurlah tiada kecederaan yang serius. Atuk bertanya mengapa dia melanggar tiang itu. “Saya nampak ada budak tengah main-main lintas di jalan. Saya pun cuba elak!” jawabnya.

Mendengar jawapan apek itu, atuk memandang saya terus. Seolah-olah bertanya jika saya yang bermain-main di jalan tadi.

Saya lekas menggelengkan kepala. Apek itu juga cepat-cepat menyambung, “Bukan dia. Ada budak laki-laki!”

Saya tercengang. Apabila saya bertanyakan atuk selepas itu pun, atuk hanya tersenyum dan diam.

KISAH 3

Suatu malam, saya bermimpi aneh. Belum pernah datang mimpi sebegini sebelumnya. Ada seorang lelaki berpakaian lengkap seperti anak raja, rona hijau. Dia sedang duduk di atas pohon rambutan, tersenyum manis memandang saya.

“Awak nak ikut kita?” tanyanya.

Saya geleng. “Tak nak. Buat apa nak ikut awak?”

Sebaik sahaja saya memberi jawapan begitu, saya terus terjaga dari lena. Kepada atuk, saya ceritakan segalanya. Awalnya, atuk hanya tersenyum. Apabila ditanya pun, atuk hanya diam tidak menjawab. Apabila saya berterusan mendesak, atuk jatuh kasihan.

“Lelaki itu putera raja bunian. Sebelum ini pun, dia pernah datang melamar tok nyang kamu. Tapi tok nyang kamu menolak. Berkali-kali dia datang. Siap ke kebun tolong tok nyang, kata nak berkawan. Sampai ke hujung nafas tok nyang kamu, dia menunggu,” cerita atuk.

Atuk kemudian berpesan kepada saya, “Ingat pesan atuk, kalau mimpi lagi, terus tolak. Jangan ikut dia pula.”

Saya angguk. Kata atuk lagi, jika saya mengikut, saya tak akan kembali lagi ke pangkuan keluarga.

Sejak itu, setiap kali saya tercium haruman kasturi, saya tahu dia datang. Tapi pesan atuk tetap tersemat di dada.

Sumber Massiah Bte Mohamad

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.


Related Posts: